Font Size AAA

PENGURUSAN MASJID DAN SURAU PERLU PASTIKAN RUMAH IBADAH DIMANFAATKAN SEPENUHNYA DEMI PEMBANGUNAN UMMAH
Tarikh : 26 Aug 2020
 

KUCHING, 25 Ogos 2020 : Pengurusan di sesebuah masjid dan surau perlu memastikan rumah ibadah itu digunakan sepenuhnya selain tempat untuk bersembahyang lima waktu bagi memberikan manfaat kepada pembangunan ummah.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pengurusan masjid dan surau perlu melaksanakan tugas bagi memastikan bahawa institusi dapat berfungsi dalam pelbagai aspek.

“Kita hendak jadikan masjid dan surau ini sebagai pusat yang dapat membangunkan umat dan masyarakat di sekeliling kita.

“Kita jadikan masjid dan surau digunakan oleh semua umat Islam yang tinggal di tempat kita.

“Orang dewasa, belia, kanak-kanak, wanita dan sebagainya boleh menggunakan masjid dan ruang yang ada untuk mengadakan pelbagai kegiatan kemsyarakatan yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Majlis Islam Sarawak Kepada Masjid Dan Surau Negeri Sarawak Tahun 2020M di Persada Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Kuching pada Selasa.

Sebanyak 1,085 buah masjid dan 434 buah surau di seluruh Sarawak menerima sumbangan tersebut.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menambah, untuk memastikan perananya dapat dilaksanakan faktor utamanya bergantung kepada peranan jawatankuasa pengurusan masjid dan suaru.

“Di mana kita yang menjadi pengerusinya, setiausahanya dan ahli jawatankuasa hendaklah memainkan peranan untuk memastikan dalam tempoh kita diberikan amanah selama dua tahun atau tiga tahun memimpin masjid kita usahakan untuk memastikan masjid kita menjalankan peranan sedemikian,” tambahnya.

Justeru, pengurusan masjid dan surau perlu menjalinkan kerjasama erat dengan jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Negeri Sarawak untuk sama-sama membangunkan peranan dan fungsi masjid dan surau demi pembangunan ummah.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha, Pengarah JAIS Khalidi Ibrahim dan Pengarah JAKIM Negeri Sarawak Hamdan Jaraee.



Repost : FB Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS