Font Size AAA

21 PENIAGA MEDAN SELERA LUNDU TERIMA SIJIL HALAL, 4 LAGI DALAM PROSES
Tarikh : 04 Sep 2020
 

LUNDU: Seramai 21 orang peniaga di Medan Selera Lundu telah menerima sijil halal dan 4 lagi dalam proses.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu berkata, diharap semua peniaga sentiasa memastikan makanan yang disediakan bersih dan mengamalkan kebersihan selalu.

"'Kalau ada pun sijil halal tapi jika kita tidak bersih pun tidak berguna.

"Sekarang ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu sentiasa dipenuhi oleh pengunjung dari luar.

"Oleh itu, kita mesti sentiasa memperbaiki dan memperbaharui premis kita supaya sentiasa menjadi pilihan pelanggan," katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Zon Halal Medan Selera Lundu 2020 pada Khamis.

Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu bin Haji Taha berkata penerima sijil halal Medan Selera Lundu harus berterima-kasih kepada Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah kerana begitu komited untuk mendapatkan sijil halal supaya kedai mereka tidak diragui dan memberi banyak manfaat kepada peniaga dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Pada majlis itu juga turut diserahkan banner Zon Halal Medan Selera Lundu oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kepada Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim untuk digunakan di Medan Selera Lundu.

Hadir sama, JAIS Ustaz Haji Khalidi bin Haji Ibrahim, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Ustaz Haji Hamdan bin Jara'ee,  Penolong Pegawai Daerah Lundu, Zulkifli Morshidi, Pegawai Agama Islam Bahagian Kuching Ustaz Haji Ramzen bin Haji Ambi dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Ustazah Rafeah binti Buang.

 

 

REPOST dari FB Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS