Font Size AAA

JAWATANKUASA PENGURUSAN MASJID, SURAU PERLU TERUS MAIN PERANAN PASTIKAN SOP DIPATUHI
Tarikh : 06 Oct 2020
 

KUCHING, 03 Oktober 2020, Sabtu : Semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di negeri ini digesa untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan setiap jemaah mematuhi prosedur operasi standard  (SOP) yang  ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha berkata, ia termasuk mengambil langkah pencegahan dan pembersihan  di masjid dan surau masing-masing sebagai usaha menangani penularan wabak COVID-19 ketika ini.

"Semalam, kita dimaklumkan bahawa Malaysia mencatatkan 287 kes baharu iaitu  jumlah kes harian tertinggi direkodkan sejak permulaan pandemik ini.

"Jumlah ini amat tinggi dan oleh itu, kita mohon agar semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau memastikan SOP di masjid dan surau  dilaksanakan dengan sepenuhnya bagi memastikan rantaian COVID-19 berjaya diputuskan.

"Bagi saya ini penting kerana kita tidak mahu ada lagi peningkatan kes COVID-19 di negara ini termasuk Sarawak khasnya" kata beliau pada majlis penangguhan Induksi Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau Tahunan 2020 dan pelancaran Inisiatif Ke Arah Masjid Lima Bintang (Tandas dan Tempat Wudhuk Patuh Syariah) di Masjid India Bandar Kuching di sini, hari ini.

Sementara itu, Misnu turut mengingatkan ahli jawatankuasa masjid dan surau untuk menjaga dan memastikan pentadbiran pengurusan institusi ini dijalankan dengan baik dan teratur.

Beliau mempertikaikan apa gunanya jika hanya mempunyai bangunan (masjid atau surau) yang cantik, namun  hal pentadbirannya tidak terurus. 

"Saya mohon agar urus tadbirkan institusi ini dengan penuh integriti, telus dan cekap. Pada masa sama, patuhi semua peraturan atau prosedur MIS tetapkan agar kewibawaan anda (jawatankuasa pengurusan masjid dan surau) tidak dipertikai oleh kariah masing-masing," katanya.

Mengenai majlis itu, beliau menguapkan tahniah kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kerana memperkenalkan salah satu inisiatif ke arah masjid lima bintang yang memfokus kepada tandas dan tempat wudhuk patuh syariah.

"Gah setara mana pun masjid atau surau kita, apabila tidak terurus, tandasnya kotor, tempat wudhuknya tidak selesa, pasti akan memberi imej buruk kepada masjid dan surau. Oleh itu, marilah  sentiasa pastikan tandas dan tenpat wudhuk kita berada dalam keadaan yang terbaik serta menjadi contoh kepada semua institusi lain," ujarnya.


( Repost Marlinda Marzuki, Utusan Borneo Online )