Font Size AAA

JAIS TINGKATKAN PENGURUSAN MASJID DAN SURAU
Tarikh : 15 Oct 2020
 

KOTA SAMARAHAN, 14 Oktober 2020, Rabu: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah mengariskan beberapa inisiatif sebagai garis panduan meningkatkan pengurusan dan menambahbaik keperluan masjid dan surau di negeri ini.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, garis panduan yang disediakan itu dapat memberi manfaat secara keseluruhan kepada jemaah dan komuniti Islam setempat.
Menurutnya, pihak JAIS dan agensi yang terlibat akan meneliti setiap permohonan untuk membina masjid atau surau di negeri ini.
"Ini bagi tujuan pertimbangan dan penyeragaman pembinaan termasuk kawasan terbabit telah mempunyai masjid atau surau, saiz tanah mencukupi atau tidak untuk proses pembesaran menaik taraf kepada status masjid," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Sarawak semasa Majlis Pecah Tanah Pembinaan Surau Al Malique Unigarden, hari ini.
Tambah beliau, surau yang bernilai RM5.35 juta dan terletak di tepi laluan utama Kuching-Samarahan Express Way dijangka siap pada 5 Oktober 2021.
Ujar beliau, bagi fasa pertama, kerja-kerja pembinaan surau itu telah dilakukan bermula pada Ogos tahun lepas di atas tapak tanah wakaf seluas 0.76 ekar yang menelan kos sebanyak RM2.6 juta.
"Pembinaannya hanya meliputi bangunan utama yang mengandungi ruang solat, tandas dan tempat berwuduk sahaja
"Surau ini mampu menampung seramai 386 jemaah komuniti Islam meliputi lima taman perumahan iaitu Uni Garden, Uni Media, Uni Vista, Uni Central dan Uni Capital," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, ADUN Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud, ADUN Muara Tuang, Dato Idris Buang, ADUN Simunjan, Awla Dris, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu dan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Dato Peter Minos.

 

 
Repost FB Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS