Berita

PEGAWAI MASJID PANTAU GARIS PANDUAN PENGIMARAHAN RAMADAN DI MASJID/ SURAU & OPERASI HORMATI RAMADAN
Tarikh : 14 Apr 2021  Sumber Berita: Bahagian Penguatkuasaan Syariah, JAIS
 

Umat Islam Sarawak adalah diimbau agar mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Majlis Islam Sarawak MIS) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Demikian menurut YBhg Datu Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak semasa bual bicara di konti radio online IRIS pada 12 April 2021.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan menyeru umat Islam merebut peluang untuk beribadat dan berdoa Allah swt mengangkat kesulitan ini dan menggantikannya dengan kesejahteraan dan kegembiraan untuk semua ummah di seluruh alam.

Meskipun Sarawak masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan menangani pandemik COVID-19, Majlis Islam Sarawak melalui Bahagian Penguatkuasaan Syariah (BPKS), Jabatan Agama Islam Sarawak akan meneruskan tugas-tugas Amar Makruf Nahyu Mungkar (seru kebaikan & cegah kemungkaran) di sepanjang bulan Ramadan ini.

JAIS akan menjalankan Operasi Cegah Jenayah Syariah bagi kesalahan Tidak Menghormati Ramadhan seperti kehendak seksyen 14 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah, 2001 di seluruh negeri Sarawak. 

Mengingkari pihak berkuasa agama (s.9 OKJS, 2001) juga merupakan kesalahan jenayah syariah yang jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Pegawai-pegawai Masjid seperti Imam, Khatib, Bilal dan Merbot telah diminta untuk memantau pematuhan Garis Panduan Pengimarahan Ramadan di Masjid/ Surau seperti yang dikeluarkan oleh MIS pada 1 April 2021 yang lalu.

Pegawai - Pegawai Masjid hendaklah menegur dan menasihati jemaah yang didapati melanggar garis panduan atau SOP semasa perlaksanaan solat Jumaat dan aktiviti sebelah malam di masjid-masjid.

Sekiranya jemaah masih engkar atau mengulang pelanggaran tersebut maka Pegawai Masjid melalui Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid melapor kepada pihak berkuasa Polis atau Pejabat Kesihatan Bahagian/ Daerah yang berdekatan untuk tindakan lanjut.

Masyarakat Islam terutamanya yang menghadiri solat sunat tarawih dan solat berjemaah termasuklah pihak JKP dan Pegawai Masjid adalah digesa untuk mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan agar Masjid atau Surau kekal bersih dan selamat untuk diimarahkan.

Terimalah situasi ini dengan reda dengan memperbanyak salawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw serta mempertingkat amal ibadat di bulan ini dan bulan-bulan seterusnya penuh keinsafan.

Useful Links