Font Size AAA

KUCHING, 10 Oktober 2020, Sabtu: Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Lahir ke-84 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah berlangsung di Masjid India Bandar Kuching, malam tadi.

Ketibaan Tun Pehin Sri Abdul Taib serta Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib disambut oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg serta isteri Datuk Amar Hajjah Juma'ani Tuanku Bujang sebelum kedua-dua pasangan tetamu kenamaan menunaikan solat Maghrib bersama jemaah lain pada malam tersebut.

Majlis pada malam tersebut diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan ceramah khas yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Ustaz Mual Suaud.

Sejurus selepas selesai solat Isyak berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan doa kesyukuran dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadillah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Majlis pada malam tersebut juga dimeriahkan dengan kehadiran barisan Menteri Kabinet Negeri Sarawak dan dif-dif kenamaan yang bukan beragama Islam yang turut menyertai jamuan makan malam.

Antara tetamu kenamaan yang hadir pada malam tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Keseniaan/ Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Turut hadir ialah Menteri Muda (Hal Ehwal Islam & DBKU), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin dan Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.

Repost Berita & Gambar - FB Unit Komunikasi Awam Sarawak [ UKAS ]