Berita

AMBIL SUNTIKAN VAKSIN TIDAK BATALKAN PUASA
Tarikh : 19 Mar 2021  Sumber Berita: Al Hijrah News Online
 

KUALA LUMPUR: Pengambilan suntikan vaksin COVID-19 pada bulan Ramadan tidak akan membatalkan puasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Jelasnya, ia kerana suntikan vaksin tersebut bersifat tidak mengenyangkan.

“Hakikat sebenar dalam suntikan tidak membatalkan puasa melainkan suntikan-suntikan yang bersifat mengenyangkan tapi vaksin sebagaimana suntikan-suntikan yang lain tidak membatalkan puasa.

“Sebenarnya di Malaysia sendiri sudahpun difatwakan dalam isu suntikan ini bahawa ianya tidak membatalkan puasa, tiada masalah,” katanya sewaktu ditemuramah wartawan Berita AlHijrah selepas program Dengar di TV Alhijrah.

Beliau mengulas mengenai hukum tersebut bagi menjawab persoalan masyarakat muslim di Malaysia yang masih ragu-ragu untuk mengambil suntikan vaksin ketika berpuasa.

Sebelum ini, pejabat Mufti Singapura memaklumkan bahawa pengambilan vaksin serta ujian calitan (swab test) tidak membatalkan puasa setelah mendapat beberapa pertanyaan yang diterima Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Presiden Ketua Umum Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais turut berpendapat bahawa pengambilan vaksin COVID-19 tidak membatalkan puasa.

Sumber Berita :
https://alhijrahnews.com/ambil-suntikan-vaksin-tidak-batalkan-puasa/

Useful Links