Berita

JANGAN CETUS PROVOKASI ISU KALIMAH ALLAH
Tarikh : 19 Mar 2021  Sumber Berita: Harian Metro Online
 

Kuala Lumpur: Ahli politik mahupun orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan provokasi berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka perlu percaya kepada sistem kehakiman negara dengan memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk menyelesaikannya.

"Sekiranya boleh, pihak berkepentingan ini diharap dapat bersabar dan jangan mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati pihak lain.

"Yakinlah bahawa undang-undang ini berdaulat kerana proses mahkamah berhubung isu (kalimah Allah) ini masih belum berakhir.

"Sekiranya perkara ini tidak ada penyudahnya, marilah kita bersama-sama merumuskan mencari jalan penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bersama KPN dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar disiarkan secara langsung di Youtube dan Facebook Sinar Harian, hari ini.

Abdul Hamid berkata, negara tidak boleh dibiarkan dengan isu remeh berkenaan dan ada pihak tidak bertanggunjawab cuba menangguk di air keruh untuk menghangatkan keadaan.

"Perbuatan itu sangat tidak bertanggungjawab dan tidak ada pengakhirannya, selain ia mampu meruntuhkan sistem negara.

"Di pihak saya (Polis Diraja Malaysia) sebagai penguat kuasa undang-undang, saya tidak akan membiarkan isu ini sehingga ia menjadi pertelingkahan fizikal.. saya akan elakkan (berlaku perbalahan antara kaum lain)," katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang menggalakkan provokasi, menghasut orang ramai untuk turun ke padang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Sumber Berita:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/685110/jangan-cetus-provokasi-isu-kalimah-allah

Useful Links