Berita

BERSYUKUR BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI DIBENARKAN BEROPERASI
Tarikh : 19 Mar 2021  Sumber Berita: Harian Metro Online
 

Kuala Lumpur: Pengumuman kerajaan meluluskan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini nyata memberi kelegaan kepada ribuan peniaga di negara ini.

Selepas setahun tertangguh akibat pandemik Covid-19, pembukaan semula bazar Ramadan dilihat sebagai langkah pertama untuk keadaan kembali normal sebaik penurunan kes baharu Covid-19.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada peniaga apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi lampu hijau selepas permintaan mereka tertangguh tahun lalu akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Kami sudah bersedia mengikuti prosedur operasi standard (SOP) digariskan MKN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas pengumuman paling ditunggu-tunggu untuk kebenaran kami beroperasi.

"Seramai 2,233 peniaga makanan akan dibenarkan berniaga di 47 lokasi di ibu kota termasuk persatuan saya membabitkan 906 peniaga sudah berdaftar," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga terdiri daripada mereka yang sudah mendaftar melalui sistem e-bazar tahun lalu dan meneruskan pembayaran mereka hingga tahun ini.

Menurutnya, mereka akan memastikan SOP ketat dan pada masa sama, berharap supaya pengunjung bazar Ramadan turut mematuhi SOP ditetapkan.

"Malah, kami akan membuat pengukuran semula tapak sedia ada dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter antara tapak penjaja.

"Sekiranya tapak bazar tidak mencukupi dengan baki peniaga yang ada, kami diminta untuk mengenal pasti tapak baru berdekatan supaya semua dapat berniaga tahun ini," katanya.

Mohamed Zamri berkata, pihaknya lega sebaik kerajaan memberikan lampu hijau kepada peniaga bukan makanan yang menjual persiapan Aidilfitri seperti pakaian, biskut dan hiasan.

Peniaga bazar Ramadan di Jalan Telawi, Bangsar di sini, Kamarul Zaman Nawi, 60, turut bersyukur sebaik pengumuman kerajaan membenarkan mereka berniaga tahun ini.

"Saya berniaga di bazar Ramadan Jalan Telawi sejak 2000 dan pastinya memberi kelegaan buat kami untuk menambah pendapatan selepas tahun lalu kami tidak dibenarkan berniaga.

"Kami difahamkan, tahun ini hanya 50 daripada 100 tapak sebelum ini dibenarkan berniaga berikutan perlu penjarakan fizikal.

"Jika dilihat sudut positif, pastinya akan memberi penambahan pendapatan kepada peniaga berikutan kurang persaingan," katanya.

Menurutnya, dia mengharapkan orang ramai boleh mengamalkan kawalan kendiri ketika mengunjungi bazar Ramadan tahun ini bagi mengelak terjadi sebarang kluster.

Umat Islam dijangka akan menjalani ibadah puasa bermula 13 April depan.

Sumber Berita:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/685007/bersyukur-bazar-ramadan-aidilfitri-dibenarkan-beroperasi

Useful Links