Berita

ISU KALIMAH ALLAH: SELESAI BINCANG BERSAMA PARA MUFTI, RESOLUSI DIBAWA KE MAJLIS RAJA-RAJA
Tarikh : 16 Mar 2021  Sumber Berita: Al Hijrah News Online
 

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Isu-Isu Semasa Mufti-Mufti Seluruh Malaysia dan Alim Ulama’ berkaitan isu kalimah Allah telah berlangsung hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hasil perbincangan dalam pertemuan bersama para mufti itu akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

“Saya mengucapkan sekalung penghargaan atas komitmen dan kesungguhan para Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan para alim ulama’ yang dijemput bagi menyampaikan buah fikiran masing-masing.

“Menjadi kelaziman bagi isu-isu hal ehwal Islam di Malaysia terutamanya di peringkat nasional, sebarang bentuk resolusi, usul dan pandangan akan disampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Kata Zulkifli, resolusi tersebut akan dimaklumkan kepada umum setelah menerima titah perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

Beliau dalam pada itu menyeru umat Islam untuk terus bersatu hati bagi memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan dengan ilmu, iman dan amal.

Sumber Berita:
https://alhijrahnews.com/isu-kalimah-allah-selesai-bincang-bersama-para-mufti-resolusi-dibawa-ke-majlis-raja-raja/

Useful Links