. 05/05
SIBU I 5 MEI 2026 Program Latihan Kesedaran dan Kompetensi Halal yang berlangsung di Galeri, Kompleks Islam Sibu baru-baru ini melabuhkan tirainya dengan jayanya, menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada usahawan tempatan dan penggerak industri. Program tiga hari yang bermula dari 5 hingga 7 Mei 2026 itu merupakan anjuran kolaboratif bersama Halal Academy, bertujuan memperkasakan ekosistem halal di Sarawak menerusi pendedahan ilmu dan kemahiran teknikal yang komprehensif. Sesi pembukaan pada 5 Mei bagi Latihan Kesedaran Halal mencatatkan kehadiran seramai 113 peserta secara keseluruhan. Daripada jumlah tersebut, seramai 40 peserta hadir pada sesi pagi di bawah kategori HRDC, manakala sesi petang pula menarik minat seramai 73 peserta kategori bukan HRDC. Kemuncak program pada 6 dan 7 Mei pula tertumpu kepada Latihan Kompetensi Halal yang lebih teknikal dan mendalam. Seramai 16 ahli Jawatankuasa Halal Dalaman (JKHD) telah berjaya menamatkan latihan intensif tersebut, sekali gus melayakkan mereka menguruskan sistem jaminan halal di organisasi masing-masing dengan lebih efektif. Antara pengisian utama yang ditekankan sepanjang program termasuklah: Penerapan konsep Halalan Toyyiban dalam rantaian bekalan. Taklimat terperinci Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Edisi Sarawak). Analisis Titik Kawalan Halal serta Sistem Jaminan HalalBengkel praktikal Penganjuran program ini dianggap sebagai langkah proaktif dalam memastikan produk dan perkhidmatan dari wilayah tengah Sarawak memenuhi kriteria kualiti dan integriti halal yang ketat. Dengan lahirnya lebih ramai tenaga kerja kompeten menerusi latihan ini, industri halal Sarawak dijangka terus berkembang pesat, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna serta daya saing usahawan tempatan di pasaran yang lebih luas.
. 07/05
SHAH ALAM I 7 MEI 2026 Anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Institusi Pendidikan Islam Majlis Islam Sarawak (JHEIPI-MIS) dan Jawatankuasa Kecil Teknikal Institusi Pendidikan Islam Persendirian (JKT IPIP) telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Kolej Hafiz Klang, Selangor bertujuan untuk meninjau dan meneliti kaedah pengurusan dan pentadbiran IPIP di kolej tersebut yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan seperti Malaysia Quality Agency (MQA). Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Professor Emeritus Datuk Ts. Haji Mohamad Kadim bin Haji Suaidi, Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Pengerusi JHEIPI-MIS. Sepanjang lawatan ini, pihak delegasi telah melawat fasiliti premis seperti bilik kelas, makmal sains, gimnasium, galeri dan banyak lagi. Selain itu, Pengarah Kolej Hafiz Klang, iaitu YBhg. Dr. Haji Muhammad Hafiz bin Haji Muhamad Haneefa telah memberikan taklimat berkenaan hala tuju pendidikan tahfiz serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman beliau dalam mengurus Pusat Pendidikan Hafiz sehingga berkembang daripada peringkat tadika sehingga diploma. Lawatan ini turut disertai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) selaku Timbalan Pengerusi JHEIPI-MIS, Timbalan Pengarah Dasar JAIS selaku Pengerusi JKT IPIP dan wakil-wakil agensi daripada Jabatan Tanah & Survei Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak.
. 08/05
KUALA LUMPUR I 8 MEI 2026 Bahagian Pengukuhan Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah mengadakan sesi dialog bersama para mahasiswa Sarawak daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Kuala Lumpur bertempat di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur. Seramai 85 orang mahasiswa telah menyertai sesi dialog ini yang turut melibatkan wakil daripada pihak Tabung Baitulmal Sarawak Yayasan Sarawak. Antara perkara yang diutarakan oleh wakil mahasiswa ialah mengenai cadangan penambahbaikan bantuan kepada pelajar, hala tuju graduan dalam bidang kerjaya dan pengajian tinggi serta cadangan penubuhan sebuah pertubuhan yang menaungi alumni APIUM di Sarawak. Sahibus Siyadah Ustaz Haji Mual bin Suaud, Pengarah JAIS dalam ucapan pembukaan dialog turut menekankan beberapa perkara penting berkaitan hala tuju mahasiswa dan graduan APIUM agar selari dengan agenda kemakmuran Sarawak berteraskan kepada Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 dan berpesan agar sentiasa memberikan fokus terhadap bidang pengajian masing-masing. Sesi dialog kali ini dihadiri oleh Puan Hajijah binti Morsidi mewakili Yayasan Sarawak dan Tuan Mohammad Yusree bin Mohammad Zain mewakili Tabung Baitulmal Sarawak. Turut hadir bersama ialah YBhg. Prof. Dr. Fauzi bin Hamat, Dekan APIUM dan Prof. Madya Dr. Mohamad Azrien bin Mohamed Adnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) APIUM.
. 07/05
SHAH ALAM I 7 MEI 2026 Anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Institusi Pendidikan Islam Majlis Islam Sarawak (JHEIPI-MIS) dan Jawatankuasa Kecil Teknikal Institusi Pendidikan Islam Persendirian (JKT IPIP) telah mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Agama Islam Selangor bertujuan untuk mempelajari dan berbincang mengenai pelaksanaan Program Pemutihan Institusi Pendidikan Islam 2.0 yang telah dilaksanakan semenjak 2024. Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Professor Emeritus Datuk Ts. Haji Kadim bin Haji Suaidi, Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Pengerusi JHEIPI-MIS. Antara perkara yang dikongsikan adalah mengenai prosedur pemutihan pusat tahfiz, penyelesaian terhadap isu melibatkan tanah, kelulusan bangunan, kurikulum dan sinergi pelbagai pihak termasuk peranan yang dimainkan oleh Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor dalam mendokong hasrat menjayakan pelan pemutihan ini. Lawatan ini turut disertai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) selaku Timbalan Pengerusi JHEIPI-MIS, Timbalan Pengarah JAIS selaku Pengerusi JKT IPIP dan wakil-wakil agensi daripada Jabatan Tanah & Survei Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak.
. 30/04
KUCHING I 30 APRIL 2026 Program Halal Outreach Sarawak bertemakan “Pensijilan Halal: Kualiti & Yakin” telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari bermula 29 hingga 30 April 2026 di Borneo Culture Museum, menghimpunkan usahawan tempatan serta pemegang sijil halal dalam usaha memperkukuh pemahaman dan penglibatan dalam pensijilan halal di negeri ini. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan usahawan mengenai kepentingan pensijilan halal, membimbing peserta dalam proses permohonan dan pematuhan piawaian halal, serta memperkukuh ekosistem halal di Sarawak khususnya dalam kalangan usahawan bumiputera. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Ustaz Abang Borhanuddin bin Abang Ahmad Masuine, Timbalan Pengarah di Jabatan Agama Islam Sarawak. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada 10 syarikat bumiputera yang berjaya memperoleh pensijilan halal, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam mematuhi piawaian halal yang ditetapkan. Hari pertama program yang bertemakan “Selangkah Ke Pensijilan Halal” menyaksikan penyertaan seramai 151 usahawan bumiputera yang berminat untuk memohon pensijilan halal. Sesi ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai prosedur permohonan, keperluan pensijilan serta kepentingan halal dalam meningkatkan daya saing produk di pasaran. Manakala hari kedua pula membawa tema “Road to Whitelist Sarawak”, yang mensasarkan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang aktif. Seramai 72 peserta hadir bagi mengikuti sesi pemantapan dan perkongsian berkaitan pematuhan berterusan dalam pensijilan halal. Hasil daripada program ini, peserta dilihat memperoleh pengetahuan praktikal berkaitan pensijilan halal, meningkatkan keyakinan untuk memohon sijil halal, serta memperkukuh jaringan antara usahawan dan agensi berkaitan. Selain itu, program ini turut berjaya menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan untuk mendapatkan pensijilan halal, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri halal yang lebih berdaya saing di peringkat negeri dan nasional.
. 27/04
KUCHING I 27 APRIL 2026 Sahibus Siyadah Tuan Haji Mual bin Haji Suaud, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah hadir bagi menjayakan Muqabalah Dakwah Pertama (Suku Tahun 2026) yang berlangsung di Aras 10, Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching. Program strategik ini merupakan platform utama bagi membincangkan penambahbaikan urus tadbir dakwah, bertujuan untuk memastikan pendekatan dakwah sentiasa relevan dan mesra masyarakat pelbagai latar belakang, di samping menggalakkan inovasi berteraskan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Suasana diserikan dengan pelancaran bahan 'Quick Notes Dakwah' serta penyampaian holder dan brosur Mengenali Islam kepada wakil-wakil bahagian, memberikan alat bantu yang praktikal untuk kerja-kerja dakwah harian. Kemuncak program menyaksikan sesi 'Open-Mic' perbincangan solusi yang membolehkan para petugas berkongsi pengalaman dan cadangan secara terbuka. Sesi yang berlangsung sehingga jam 12:30 tengah hari ini berjaya merapatkan ukhuwah dan menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan warga dakwah.
. 28/04
BINTULU I 28 APRIL 2026 Jabatan Agama Islam Sarawak melalui Bahagian Dakwah telah berjaya menganjurkan Program Induksi GAIWA pada 28 April 2026 bersamaan 10 Zulkaedah 1447 Hijrah. Majlis yang berlangsung di Bilik Ruby, NU Hotel, Bintulu ini telah menyaksikan kehadiran seramai 20 orang peserta selain urusetia dan penceramah yang hadir menjayakan program tersebut. Program ini dirangka khas bagi memberikan kefahaman yang menyeluruh kepada pihak Penaja GAIWA berkenaan keseluruhan proses permohonan tauliah — merangkumi kaedah permohonan, aturan prosedur GAIWA, prosedur semakan dan kajian pihak polis, sehinggalah kepada peringkat kelulusan serta kebenaran daripada pihak Imigresen. Melalui pendekatan taklimat terus daripada agensi-agensi berkaitan, para peserta berpeluang mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini daripada sumber yang sahih. Seramai tiga orang penceramah jemputan telah mengambil bahagian dalam program ini, masing-masing mewakili agensi yang berbeza. Sesi pertama disampaikan oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tuan Mohd Syamsul Rizal bin Ahmad yang memegang jawatan Penolong Supritendan Polis (ASP), yang menghuraikan prosedur semakan dan kajian pihak polis berhubung permohonan GAIWA. Sesi kedua pula menyaksikan Tuan Mohd Alhafis bin Hamdi, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan daripada Jabatan Imigresen Malaysia, menerangkan dengan lanjut berkenaan prosedur kelulusan serta kebenaran yang perlu diperoleh daripada pihak Imigresen. Melengkapkan sesi taklimat pada hari tersebut ialah Ustaz Izwan Syafrein bin Ibrahim, Pegawai Hal Ehwal Islam, yang membentangkan kaedah permohonan dan aturan prosedur GAIWA secara terperinci bagi memastikan para peserta benar-benar memahami setiap peringkat yang perlu dilalui.
. 26/04
KUCHING I 26 APRIL 2026 Bengkel Pemurnian Garis Panduan Penyelidikan Majlis Islam Sarawak anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak melalui Bahagian Perancangan & Penyelidikan telah berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April 2026 di Grand Margherita Hotel. Pada hari pertama, program dimulakan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Penyelidikan Majlis Islam Sarawak Kali Ke-3 Bilangan 1/2026 yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali. Mesyuarat tersebut memberi fokus kepada hala tuju serta pengukuhan aspek penyelidikan dalam institusi berkenaan. Memasuki hari kedua, para peserta bengkel meneliti dan menilai semula kandungan Garis Panduan Penyelidikan sedia ada. Perbincangan turut melibatkan penentuan tajuk kajian yang relevan berdasarkan enam bidang di bawah PSPU, selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan penyelidikan Islam di Sarawak. Bengkel diteruskan pada hari ketiga sebelum diakhiri dengan Majlis Penangguhan yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Sahibus Siyadah Tuan Haji Mual bin Haji Suaud.Penganjuran bengkel ini diharap dapat memperkukuh garis panduan penyelidikan serta meningkatkan kualiti penyelidikan Islam pada masa hadapan.
. 24/04
KUCHING I 24 APRIL 2026 Bahagian Kemajuan Saudara Kita telah menganjurkan Bengkel Penggubalan Modul Usrah Nuqaba Muallaf Siri 2/ 2026 pada 22 hingga 24 April 2026 bertempat di Grand Margherita Hotel, Kuching. Fasilitator bagi bengkel ini adalah Yang Berbahagia Tuan Zamri bin Mohamad, Pegawai Tadbir (Komunikasi) dan dihadiri oleh 20 orang kakitangan Jabatan Agama Islam Sarawak. Bengkel ini diadakan bagi menyelaraskan penggunaan modul usrah supaya hala tuju tarbiyah lebih tersusun dan konsisten sekaligus mengasah kemahiran komunikasi interaksi naqib dalam mengendalikan dan menangani ahli usrah.
. 27/04
SERIAN I 27 APRIL 2026 Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Sahibus Siyadah Ustaz Haji Mual bin Haji Suaud telah menghadiri Majlis Penghargaan dan Silaturahim Majlis Islam Sarawak yang berlangsung di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian. Majlis tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan serta komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Sarawak Kali Ke-65 bagi tahun 1447H/2026M yang telah berlangsung Februari lepas. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, Yang Berhormat John Ilus; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu bin Haji Taha; Residen Bahagian Serian, Yang Berbahagia Puan Caroline Cleophas Joseph; serta Pengerusi Majlis Daerah Serian, Yang Berbahagia Dato Peter Minos. Majlis ini turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi kerajaan, jawatankuasa pelaksana serta komuniti setempat yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam penganjuran program tersebut.
. 23/04
Kuching I 22 April 2026 Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah menerima kunjungan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang diketuai oleh Yang Berusaha Encik Taufik bin Mohd Yusop, Pengarah KEMAS Sarawak bagi mengadakan sesi libat urus berkenaan permit mengajar bagi Pendidik Mesyarakat Tabika Pra Tahfiz KEMAS di Sarawak. Taklimat mengenai pelaksanaan program Pra Tahfiz Tabika KEMAS di seluruh Sarawak disampaikan oleh Puan Roselund Wilson Laing, Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, KEMAS Sarawak. Dalam sesi ini pihak KEMAS turur dimaklumkan mengenai prosedur permohonan tauliah mengajar ahama yang diuruskan oleh JAIS seperti Tauliah Mengajar Agama (UMUM), Tauliah Mengajar Guru Agama Islam Warga Asing (GAIWA) & Permi Mengajar Guru Institusi Pendidikan Islam. JAIS mengalu-alukan pelaksanaan program pra tahfiz ini yang akan memberi impak positif terhadap perkembangan proses pendidikan awal kanak-kanak muslim di Sarawak. Selain itu, JAIS turut menjelaskan berkenaan kewajipan guru/ pendidik yang mengajar subjek agama Islam atau Bahasa Arab di sesebuah institusi pendidikan di Sarawak untuk mendapatkan permit mengajar bagi membolehkan mereka mengajar subjek tesebut dengan kebenaran Majlis Islam Sarawak. Sesi libat urus tersebut telah dipengerusikan oleh YBrs. Ustaz Abg Borhanuddin bin Abg Ahmad Masuine, Timbalan Pengarah (Dasar) mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.
. 14/04
Sibu I 14 April 2026 IBU, 14 April 2026 - Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Sarawak dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Sibu telah berjaya menganjurkan Bengkel Malaysian Halal Management System (MHMS 2020) Zon Tengah Siri 1 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu dengan penyertaan seramai 105 peserta terdiri daripada pemain industri halal. Penceramah jemputan adalah dari Uniti Halal Centre (UHAC). Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan kefahaman berkaitan keperluan MHMS 2020, khususnya dari aspek dokumentasi, pelaksanaan dan pematuhan standard halal. Program turut merangkumi sesi ceramah, latihan amali serta perbincangan penyelesaian secara praktikal bagi membantu peserta melaksanakan sistem pengurusan halal secara lebih sistematik dan berkesan. Diharapkan penganjuran bengkel ini dapat memperkukuh tahap pematuhan halal dalam kalangan industri serta menyokong pembangunan ekosistem halal di Sarawak.