MIRI: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan menganjurkan program Wacana Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Peringkat Negeri Sarawak pada 26 Julai 2022 bertempat di Hotel Marriott Miri.
Menurut Ustaz Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad, program ini merupakan pertama kali yang seumpamanya diadakan di peringkat negeri dan antara fokus wacana adalah berkaitan dengan ajaran sesat yang berlaku di Sarawak dan beberapa isu lain yang melibatkan kesalahan jenayah Syariah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Penganjuran Wacana Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Peringkat Negeri Sarawak di sini pada Rabu.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Penguatkuasaan Agama Negeri Sarawak memaklumkan Majlis Perasmian Penangguhan akan disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Seramai 400 orang peserta wacana disasarkan akan hadir terdiri daripada ketua-ketua jabatan yang beragama Islam, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), guru-guru KAFA, guru-guru Takmir, Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid, Pegawai-pegawai Masjid, Urusetia Saudara Kita (USK) dan peserta-peserta dari agensi berkaitan.
Program berbentuk seminar separuh hari itu akan bermula jam 7:00 pagi dengan pendaftaran peserta dan minum pagi.
Sebanyak tiga kertas kerja akan disampaikan penceramah jemputan yang bermula jam 8:00 pagi, manakala Majlis Perasmian Penangguhan akan diadakan jam 12:00 tengah hari.
Jelas beliau lagi, program sebegini tidak hanya setakat diadakan di Bahagian Miri sahaja malah akan turut diadakan pada masa akan datang di bahagian-bahagian lain dengan pengisian yang menarik serta berdasarkan keperluan semasa.
Hadir sama wakil Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Miri, Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Miri dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).