Betong | 25 Oktober 2025 (Sabtu)
Masjid Al Muhtadin, Saratok telah menjadi lokasi penganjuran Program Belia Islami pada 25 Oktober 2025 (Sabtu) yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang belia Islam dari sekitar Bahagian Betong.
Program ini dianjurkan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Betong, bertujuan untuk memperkasa akidah, membina karakter kepimpinan, memperkukuh jati diri serta memupuk ukhuwah Islamiah dalam kalangan belia Islam.
Sepanjang program dijalankan, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti dan pengisian ilmiah yang menekankan aspek pembangunan diri, pengukuhan iman serta semangat kerjasama dalam berorganisasi berteraskan nilai-nilai Islam.
Majlis penangguhan program telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Syahiiruddin Muqri bin Sejeli, Pegawai Hal Ehwal Islam yang mewakili Pegawai Agama Islam Bahagian Betong. Dalam ucapan beliau, beliau menyeru para belia agar terus berperanan aktif dalam mengimarahkan institusi masjid dan menyumbang kepada kemajuan ummah melalui pendekatan berteraskan nilai Islam. Program ini diharap dapat melahirkan barisan belia Islam yang berwibawa, berdisiplin serta mampu menjadi pemimpin masa depan yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.