Kuching I 15 Januari 2026 (Khamis)
Bahagian Kemajuan Saudara Kita, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah berjaya menganjurkan Kursus Perbandingan Agama yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2026. Kursus yang diadakan di The Waterfront Hotel ini mensasarkan ahli Panel Khidmat Nasihat Akidah, Majlis Islam Sarawak sebagai peserta utama. Penganjuran program ini bertujuan untuk memperkasakan kefahaman para peserta mengenai konsep ilmu perbandingan agama, selaras dengan kepentingannya dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.
Antara pengisian utama kursus ini termasuklah menjelaskan konsep ilmu perbandingan agama dan kepentingannya dalam konteks masyarakat majmuk di Sarawak, meningkatkan kefahaman peserta terhadap epistemologi, kosmologi serta doktrin agama utama bagi memperkukuh akidah Islam, membekalkan kemahiran dialog antara agama, dakwah serta menangani isu semasa akidah dengan pendekatan inklusif.
Melalui kursus ini, para peserta diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dalam memberikan khidmat nasihat akidah serta lebih bersedia mendepani cabaran pemikiran moden dalam konteks kepelbagaian budaya di negeri ini.