Berita

 

Sarawak Satu-Satunya Negeri Amalkan Konsep Ta’asyush

Disiarkan pada 10 Oct 2022
Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


MIRI: Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mengamalkan konsep Ta’ayush atau hidup bersama secara harmoni dan bersahaja. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, masyarakat Sarawak masih dapat hidup bersatu padu tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa mahupun budaya dalam era global dan digital masa kini. 

“Di negeri ini, tiada siapa yang boleh menyakiti hati agama lain dengan membanding dan merendah-rendahkan kepercayaan orang lain yang tidak seagama. 

“Sarawak tetap kekal sebagai model masyarakat yang saling bekerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” jelasnya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah dalam Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 2022M/144H di Stadium Miri pada Isnin. 

Sementara itu, Premier Sarawak menjelaskan, amat penting bagi semangat cemerlang berpaksikan ilmu pengetahuan diterapkan dalam jiwa umat Islam pada hari ini. 

Dalam pada itu, beliau menaruh kesyukuran kerana umat Islam dalam kalangan masyarakat Sarawak telah mengorak langkah untuk menjadi warga yang berilmu pengetahuan. 

“Saban tahun generasi muda Islam telah berkecimpung dalam banyak bidang sehingga mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya lagi.


Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 2022M/144H pada tahun ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

Antara yang hadir sama ialah isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.



image Undian
image Pengumuman