picture

News

 

37 peserta sertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Bintulu 15-18 Mac 2023

Posted on 07 Mar 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Misnu pada sidang media Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu hari ini.
 
BINTULU: Seramai 37 peserta dari seluruh negeri akan mengambil bahagian pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Sarawak yang akan diadakan di Bintulu dari 15 hingga 18 Mac ini, kata Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MAIS) Datuk Misnu Taha.
 
Menurutnya, acara empat hari di Dewan Suarah Bintulu itu akan menyaksikan seramai 11 qari dan lapan qariah menyertai majlis tilawah.
 
“Manakala lapan lelaki dan 10 wanita menyertai hafazan al-Quran,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sidang Akhbar Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-42 144H/2023M di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, hari ini.
 
Misnu berkata, acara itu yang merupakan anjuran bersama MAIS, Jabatan Agama Islam dan Pejabat Residen Bintulu sebelum menyambut Ramadan.
 
Beliau berkata, tema sambutan tahun ini adalah signifikan dengan sambutan 60 tahun Sarawak merdeka yang mana tema sambutan peringkat kebangsaan ialah Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, manakala Sarawakku Maju Makmur bagi Sarawak.
 
Jelasnya, antara kriteria pemilihan peserta yang mengambil bahagian ialah berdasarkan pemilihan yang terbaik antara yang terbaik.
 
“Maksudnya di sini ialah hanya peserta terbaik akan diambil dan sekiranya tiada yang memenuhi kriteria ditetapkan, maka tidak akan ada peserta yang akan diambil dari sesebuah daerah atau bahagian,” tegas beliau.
 
Justeru katanya, tiada peserta dari Kapit dan Serian yang menyertai pertandingan pada tahun ini kerana dasar pemilihan amat ketat dan harus mengikuti ketetapan hakim.
 
Beliau menambah, antara pengisian program ialah ceramah khas yang akan diadakan di setiap surau atau masjid berdekatan termasuk di Tatau, Sebauh dan Kidurong.
 
“Pada 14 Mac pula akan diadakan Forum Bual Bicara yang bertajuk Membangun Generasi Al-Quran bertempat di Auditorium BDA,” jelas beliau.
 
Orang ramai khususnya umat Islam digalakkan menghadiri ceramah agama yang diadakan selain menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran.
 
Turut hadir ialah Pengarah JAKIM Ustaz Hamdan Jaraee, wakil Residen Bahagian Bintulu Nur Fadzilah Narudin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Khalidi Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam Dr Asmah@Rajemah Othman dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Bintulu Fatiaelzera Mohd Idres.


Sumber: Utusan Borneo Online


picture Undian
picture Pengumuman