Berita

 

Hadi, Nur Syakura Johan Qari Dan Qariah Tilawah Al-Quran Sarawak

Disiarkan pada 19 Mar 2023
Sumber Berita: Suara Sarawak


BINTULU: Qari dan qariah mewakili bandar Kuching, Hadi Mohd Sharkawi dan Nur Syakura Mohamad Musa dinobat sebagai johan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Kali ke-62 1444M/2023H, di Dewan Suarah Bintulu, malam tadi.
 
Dengan keputusan itu, mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan, sijil dan pakej menunaikan umrah. Johan qari dan qariah ini juga akan mewakili Sarawak ke peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan di Pulau Pinang.
 
Bagi naib johan qari, ia dimenangi Muhammad Hafiez Shafie (Samarahan) dan tempat ketiga Ahmad Mukhlis Yahya (Sarikei). Roziah Ayub (Mukah) muncul naib johan qariah dan Farraliza Mohamad Musa (Miri) di tempat ketiga. Naib johan kedua-dua kategori menerima  wang tunai RM7,000 beserta piala dan hadiah iringan dan sijil  manakala hadiah tempat ketiga pula membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000, piala dan hadiah iringan serta sijil. Pemenang saguhati pula menerima RM1,500, hadiah iringan dan sijil.
 
Sementara itu, hafiz dari Institusi Tahfiz Bintulu, Muhammad Najdat Arsyad Madzalan Abdul Rahman diumumkan Johan Hafazan bagi kategori 1 hingga 10 juzuk, manakala hafizah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA) Putra Jaya Samarahan, Siti Asma Adenan dinobatkan sebagai johan.



Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, hafiz dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab (SHOAW), Mohamad Khairunnaim Khalid meraih johan manakala hafizah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Nurul Izzah Mukhali muncul johan.
 
Seramai 37 peserta telah  memperdengarkan bacaan masing-masing pada majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Kali Ke- 62 1444H/2023M yang akan  berlangsung dari 15 hingga 18 Mac ini di Dewan Suarah, di sini.


Sumber: Suara Sarawak
 


image Undian
image Pengumuman