Program Cabaran Dunia Kerjaya Pasca Perkahwinan (Work Life Balance)
Disiarkan pada 20 Sep 2023
Sumber Berita: Unit Psikologi & Kaunseling Pejabat Agama Islam Bahagian Sibu
Program Cabaran Dunia Kerjaya Pasca Perkahwinan (Work Life Balance) anjuran Unit Psikologi & Kaunseling telah diadakan pada 19 September 2023 bertempat di Galeri Kompleks Islam Sarawak Sibu. Program ini diadakan dengan memberi penekanan kepada aspek kerjaya dan perkahwinan yang merupakan dua komponen yang begitu penting dalam kehidupan khususnya bagi suami isteri yang bekerja. Program ini telah dihadiri oleh wakil setiap jabatan di bawah Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak
Menyedari cabaran yang dihadapi pasangan suami isteri berkerjaya dan kekangan masa melibatkan kehidupan peribadi, program ini diharapkan dapat memberikan informasi dan ilmu yang berguna dalam menangani hari-hari sebagai orang yang bekerja, dan sebagai suami isteri mahupun ibu bapa pada masa yang sama.
Antara objektif program ini diadakan adalah:
1. Memberi peluang kepada wakil kakitangan di setiap jabatan untuk bersuai kenal dan berkongsi pengetahuan berkenaan dengan ilmu pasca-perkahwinan dan keibubapaan sebagai individu yang sudah berkahwin secara umumnya.
2. Menerangkan kepentingan konsep keseimbangan dalam kehidupan dan pekerjaan dalam memastikan kerharmonian hidup.
3. Mengajak peserta untuk membuat penilaian kendiri tentang keseimbangan dalam kehidupan dan pekerjaan.