Berita

 

KEPIMPINAN RASULULLAH SAW PEMANGKIN UMMAH MAJU MAKMUR

Disiarkan pada 19 Oct 2025
Sumber Berita: Bahagian Dakwah

Gedong, Samarahan | 19 Oktober 2025

Satu program ilmu bertajuk “Kepimpinan Rasulullah SAW Pemangkin Ummah Maju Makmur” telah diadakan di Masjid Al-Kawthar, Daerah Gedong, Samarahan pada 19 Oktober 2025 (Ahad), sejurus selepas solat Maghrib. Program ini merupakan anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Kawthar, Daerah Gedong, Samarahan. Tujuan utama penganjuran adalah untuk memperkukuh kefahaman masyarakat Islam terhadap konsep kepimpinan Rasulullah SAW sebagai asas pembangunan ummah yang maju, makmur dan berintegriti.



Forum tersebut menampilkan barisan ahli panel terdiri daripada:

  1. YBhg. Ustaz Haji Mual bin Haji Suaud (No. Tauliah MIS-003640) – Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.

  2. Ustaz Suharman Haji Edward (No. Tauliah MIS-003190) – Ketua Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak.

  3. Ustaz Haji Hazimin Shakir bin Said (No. Tauliah MIS-002565) – Ketua Bahagian Kemajuan Institusi Masjid, Jabatan Agama Islam Sarawak.

Manakala sesi forum dikendalikan oleh Ustaz Morshidi bin July (No. Tauliah MIS-00933), Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak sebagai moderator.

Sepanjang forum, para panel telah membincangkan secara mendalam mengenai keperibadian dan kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan nilai rahmah, keadilan serta amanah dalam memimpin umat. Antara intipati yang ditekankan ialah pentingnya meneladani sifat kepimpinan Rasulullah SAW dalam membentuk masyarakat Islam yang bersatu padu, berdisiplin, dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan bersama.



Program ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para jemaah dan penduduk sekitar Daerah Gedong. Kehadiran yang ramai mencerminkan minat masyarakat terhadap program keilmuan yang menjurus kepada pengukuhan akidah dan pembinaan jati diri Muslim sejati.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus menjadi wadah efektif dalam memperkukuh kefahaman Islam serta mengukuhkan perpaduan dan kemajuan ummah di Negeri Sarawak.



image UNDIAN
image PENGUMUMAN