PROGRAM HALAL OUTREACH SARAWAK: PENSIJILAN HALAL: KUALITI & YAKIN"

Disiarkan pada 30 Apr 2026
Sumber Berita: Bahagian Pengurusan Halal
KUCHING I 30 APRIL 2026


Program Halal Outreach Sarawak bertemakan “Pensijilan Halal: Kualiti & Yakin” telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari bermula 29 hingga 30 April 2026 di Borneo Culture Museum, menghimpunkan usahawan tempatan serta pemegang sijil halal dalam usaha memperkukuh pemahaman dan penglibatan dalam pensijilan halal di negeri ini. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan usahawan mengenai kepentingan pensijilan halal, membimbing peserta dalam proses permohonan dan pematuhan piawaian halal, serta memperkukuh ekosistem halal di Sarawak khususnya dalam kalangan usahawan bumiputera.



Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia, Ustaz Abang Borhanuddin bin Abang Ahmad Masuine, Timbalan Pengarah di Jabatan Agama Islam Sarawak. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada 10 syarikat bumiputera yang berjaya memperoleh pensijilan halal, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam mematuhi piawaian halal yang ditetapkan. Hari pertama program yang bertemakan “Selangkah Ke Pensijilan Halal” menyaksikan penyertaan seramai 151 usahawan bumiputera yang berminat untuk memohon pensijilan halal. Sesi ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai prosedur permohonan, keperluan pensijilan serta kepentingan halal dalam meningkatkan daya saing produk di pasaran.



Manakala hari kedua pula membawa tema “Road to Whitelist Sarawak”, yang mensasarkan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang aktif. Seramai 72 peserta hadir bagi mengikuti sesi pemantapan dan perkongsian berkaitan pematuhan berterusan dalam pensijilan halal. Hasil daripada program ini, peserta dilihat memperoleh pengetahuan praktikal berkaitan pensijilan halal, meningkatkan keyakinan untuk memohon sijil halal, serta memperkukuh jaringan antara usahawan dan agensi berkaitan. Selain itu, program ini turut berjaya menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan untuk mendapatkan pensijilan halal, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri halal yang lebih berdaya saing di peringkat negeri dan nasional.



image UNDIAN
image PENGUMUMAN