SESI DIALOG PENGARAH JAIS BERSAMA MAHASISWA SARAWAK AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA KUALA LUMPUR
Disiarkan pada 08 May 2026
Sumber Berita: Bahagian Pengukuhan Pendidikan Islam
KUALA LUMPUR I 8 MEI 2026
Bahagian Pengukuhan Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah mengadakan sesi dialog bersama para mahasiswa Sarawak daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Kuala Lumpur bertempat di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur. Seramai 85 orang mahasiswa telah menyertai sesi dialog ini yang turut melibatkan wakil daripada pihak Tabung Baitulmal Sarawak Yayasan Sarawak.

Antara perkara yang diutarakan oleh wakil mahasiswa ialah mengenai cadangan penambahbaikan bantuan kepada pelajar, hala tuju graduan dalam bidang kerjaya dan pengajian tinggi serta cadangan penubuhan sebuah pertubuhan yang menaungi alumni APIUM di Sarawak.

Sahibus Siyadah Ustaz Haji Mual bin Suaud, Pengarah JAIS dalam ucapan pembukaan dialog turut menekankan beberapa perkara penting berkaitan hala tuju mahasiswa dan graduan APIUM agar selari dengan agenda kemakmuran Sarawak berteraskan kepada Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 dan berpesan agar sentiasa memberikan fokus terhadap bidang pengajian masing-masing.

Sesi dialog kali ini dihadiri oleh Puan Hajijah binti Morsidi mewakili Yayasan Sarawak dan Tuan Mohammad Yusree bin Mohammad Zain mewakili Tabung Baitulmal Sarawak. Turut hadir bersama ialah YBhg. Prof. Dr. Fauzi bin Hamat, Dekan APIUM dan Prof. Madya Dr. Mohamad Azrien bin Mohamed Adnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) APIUM.