Berita

ISU KALIMAH ALLAH: JAKIM TUNGGU PERKENAN MAJLIS RAJA-RAJA UNTUK TINDAKAN
Tarikh : 19 Mar 2021  Sumber Berita: Harian Metro Online
 

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi agama Islam yang lain akan mengambil tindakan selanjutnya berhubung isu penggunaan kalimah Allah selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya menyerahkan laporan hasil perbincangan antara mufti dan pakar undang-undang seluruh negara yang berlangsung pada Selasa lalu berhubung isu itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

"Kita sudah mengangkat hal ini kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Insya-Allah, kita akan tunggu sedikit masa lagi.

"Kita akan uar-uarkan tindakan selanjutnya yang akan diambil," katanya selepas menghadiri perhimpunan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) di Masjid Negara hari ini.

Turut hadir timbalan beliau, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan ketua-ketua agensi di bawah kendaliannya.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 15 Mac lalu.

Ditanya sama ada Jakim akan mengambil sebarang tindakan sebagai menyokong KDN dan kerajaan yang membuat rayuan terhadap keputusan itu, Zulkifli berkata, ia bergantung kepada keputusan Majlis Raja-Raja selepas meneliti hasil mesyuarat bersama mufti berkenaan.

Sumber berita:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/685662/isu-kalimah-allah-jakim-tunggu-perkenan-majlis-raja-raja-untuk-tindakan

Useful Links