Berita

Allahyarham Harussani, tokoh Islam dihormati, disegani, disayangi - Sultan Perak
Tarikh : 03 Jun 2021  Sumber Berita: Harian Metro Online
 

Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Istana Iskandariah, Kuala Kangsar melalui satu kenyataannya hari ini menyertakan warkah takziah baginda kepada Puan Seri Ainon Abd Ghani, balu Allahyarham.

"Beta menerima berita sedih kembalinya ke Rahmatullah saudara tua Beta, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pada 2.45 petang Ahad, 18 Syawal 1442 bersamaan 30 Mei 2021. Beliau telah memberikan khidmat bakti sebagai Mufti Kerajaan Perak selama hampir 36 tahun bermula dari 1985.

"Allahyarham semasa hayatnya sentiasa memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap Raja Pemerintah dan sangat memelihara tata adab dan kesopanan untuk memuliakan dan mendaulatkan institusi Raja Berperlembagaan serta mempamerkan sifat seorang ulama, ilmuwan, pendidik dan pendakwah yang menjunjung amanah, menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi serta pada setiap ketika berusaha sedaya mungkin mengembangkan syiar Islam.

"Ketokohan yang dimiliki meletakkan Allahyarham sebagai seorang tokoh Islam yang dihormati, disegani lagi disayangi," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak, Harrusani sentiasa menyembahkan pandangan dan nasihat memandu untuk baginda memenuhi amanah sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

"Pengalaman peribadi yang amat Beta kenangi ialah bimbingan bersifat keayahan Tan Sri (Harussani) semasa mengiringi Beta menunaikan Rukun Haji pada 2003," titah baginda.

Baginda, Dewan Negara Perak dan Negeri Perak Darul Ridzuan kehilangan seorang ulama tersohor dan pemergian yang ditentukan oleh Ilahi itu semestinya merupakan kehilangan lebih besar kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai.

"Melalui warkah ini, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan ucapan kepada Puan Sri dan mendoakan semoga waris, anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham menghadapi saat duka dan hiba ini dengan penuh keredaan dan ketabahan di samping meningkatkan ketakwaan.

"Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh, begitu juga pada hari kebangkitan. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan roh-roh para solihin," titah baginda.

Sumber Berita:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/712543/allahyarham-harussani-tokoh-islam-dihormati-disegani-disayangi-sultan-perak

Useful Links