Berita

Rombongan Jelajah Mutiara Hijrah Singgah Di Kampung Klid Dalat
Tarikh : 16 Aug 2022  Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
 


MUKAH: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah melawat ke Kampung Klid Dalat di sini pada Ahad. 

Lawatan itu susulan Jelajah Mutiara Hijrah Tahun 1444H/ 2022M bersempena sambutan Maal Hijrah 1444H Peringkat Negeri Sarawak dan sambutan Jubli Mutiara Jabatan Agama Islam Sarawak di Bahagian Mukah.

Terdahulu, menerusi kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat JAIS pada Isnin, peserta telah berkonvoi dari Masjid Setia Raja Mukah pada jam 6:30 pagi ke jeti Tebingan Sungai Dalat sebelum menaiki bot menelusuri Sungai Dalat yang memakan masa selama satu jam ke Kampung Klid Dalat. 

Sebaik sampai, Pengarah JAIS Sarawak Khalidi Ibrahim yang mengetuai 35 peserta Jelajah Mutiara Hijrah Tahun 1444H/ 2022M ini yang terdiri daripada kakitangan Unit Saudara Kita (USK) Mukah, Tabung Haji (TH) Mukah dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Mukah telah melakukan ziarah dan randau bersama penduduk dan saudara kita di Kampung Klid Dalat.  

Turut disampaikan sumbangan kepada 17 keluarga Saudara Kita berupa wang tunai dan barangan keperlua harian. 

Diakhir lawatan itu, Khalidi telah menanam pokok di Surau Amal At-Taqwa di Kampung Klid Dalat sebagai tanda ingatan. 

Selepas ini, rombongan Jelajah Mutiara Hijrah Tahun 1444H/ 2022M akan ke Bahagian Sibu sebagai destinasi seterusnya.

Useful Links