-
Terlebih dahulu saya memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana atas limpah dan kurniaNya kita dapat melangkah ke tahun demi tahun. Semoga permulaan tahun ini akan turut disertai dengan tekad untuk lebih bersemangat dan azam yang semakin kuat untuk kita bersama-sama meningkatkan prestasi perkhidmatan demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara yang tercinta ini. JAIS tidak ketinggalan dalam mengorak langkah untuk terus bergerak dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membudayakan ICT di negara ini. Sesungguhnya, Jabatan sentiasa memberi penekanan dan keutamaan dalam menyahut seruan Kerajaan terhadap kepentingan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai cabang ilmu dan sumber teknologi untuk menjana kemajuan semua warga Jabatan. Laman web ini adalah sebahagian daripada usaha jabatan ke arah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Dengan adanya laman web ini, saya berharap ia dapat dijadikan wadah kepada warga JAIS dan pengunjung bagi mendapatkan informasi terkini mengenai aktiviti dan perkembangan JAIS. Bukan sahaja sebagai maklumat tetapi jauh daripada itu sebagai wadah rujukan buat umat Islam dalam permasalahan kehidupan. Saya amat mengalu-alukan kunjungan ke laman web Jabatan Agama Islam Sarawak dan berharap ianya bukan sahaja dapat menarik perhatian malah turut memberikan faedah yang berguna supaya dapat dimanfaatkan dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan efektif. Sebarang cadangan, pandangan, pertanyaan dan maklumat daripada pengunjung adalah amat dialu-alukan.
Wasalam.
HAJI KHALIDI BIN HAJI IBRAHIM Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak |
. 07/04
Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak telah diadakan pada 7 April 2023 di Masjid Darul Ma’amur Lawas dengan bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ pada pukul 5.30 petang. Seramai 2,500 orang terdiri daripada penduduk di sekitar Lawas menghadiri majlis tersebut. Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang turut hadir memeriahkan majlis itu. Antara acara-acara iringan yang diadakan adalah seperti Ceramah Ramadan, Bicara Ramadan, Pameran Al-Quran, Ihya Ramadan Perdana Borneo dan Bicara Ramadan ‘Masyarakat Madani’.
. 01/04
Encik Hadi bin Mohd Sharkawi (Qari) dan Ustazah Nur Syakura binti Mohamad Musa (Qariah) mewakili Sarawak dalam Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam Kali ke-13 yang berlangsung di Medan, Indonesia mulai 1 hingga 4 April 2023. Kontinjen Sarawak ini diketuai oleh Yang Berbahagia Dato Haji Ismawi bin Haji Duet merangkap jurulatih dan dibantu oleh Ustazah Hajah Amnah binti Ayup, manakala saudari Umi Syamsiah binti Haji Muta-ee merupakan Pengurus Kontinjen.
. 19/03
BINTULU: Qari dan qariah mewakili bandar Kuching, Hadi Mohd Sharkawi dan Nur Syakura Mohamad Musa dinobat sebagai johan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Kali ke-62 1444M/2023H, di Dewan Suarah Bintulu, malam tadi. Dengan keputusan itu, mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan, sijil dan pakej menunaikan umrah. Johan qari dan qariah ini juga akan mewakili Sarawak ke peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan di Pulau Pinang. Bagi naib johan qari, ia dimenangi Muhammad Hafiez Shafie (Samarahan) dan tempat ketiga Ahmad Mukhlis Yahya (Sarikei). Roziah Ayub (Mukah) muncul naib johan qariah dan Farraliza Mohamad Musa (Miri) di tempat ketiga. Naib johan kedua-dua kategori menerima wang tunai RM7,000 beserta piala dan hadiah iringan dan sijil manakala hadiah tempat ketiga pula membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000, piala dan hadiah iringan serta sijil. Pemenang saguhati pula menerima RM1,500, hadiah iringan dan sijil. Sementara itu, hafiz dari Institusi Tahfiz Bintulu, Muhammad Najdat Arsyad Madzalan Abdul Rahman diumumkan Johan Hafazan bagi kategori 1 hingga 10 juzuk, manakala hafizah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA) Putra Jaya Samarahan, Siti Asma Adenan dinobatkan sebagai johan. Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, hafiz dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab (SHOAW), Mohamad Khairunnaim Khalid meraih johan manakala hafizah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Nurul Izzah Mukhali muncul johan. Seramai 37 peserta telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Kali Ke- 62 1444H/2023M yang akan berlangsung dari 15 hingga 18 Mac ini di Dewan Suarah, di sini. Sumber: Suara Sarawak
. 07/03
Misnu pada sidang media Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu hari ini. BINTULU: Seramai 37 peserta dari seluruh negeri akan mengambil bahagian pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Sarawak yang akan diadakan di Bintulu dari 15 hingga 18 Mac ini, kata Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MAIS) Datuk Misnu Taha. Menurutnya, acara empat hari di Dewan Suarah Bintulu itu akan menyaksikan seramai 11 qari dan lapan qariah menyertai majlis tilawah. “Manakala lapan lelaki dan 10 wanita menyertai hafazan al-Quran,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sidang Akhbar Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-42 144H/2023M di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, hari ini. Misnu berkata, acara itu yang merupakan anjuran bersama MAIS, Jabatan Agama Islam dan Pejabat Residen Bintulu sebelum menyambut Ramadan. Beliau berkata, tema sambutan tahun ini adalah signifikan dengan sambutan 60 tahun Sarawak merdeka yang mana tema sambutan peringkat kebangsaan ialah Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, manakala Sarawakku Maju Makmur bagi Sarawak. Jelasnya, antara kriteria pemilihan peserta yang mengambil bahagian ialah berdasarkan pemilihan yang terbaik antara yang terbaik. “Maksudnya di sini ialah hanya peserta terbaik akan diambil dan sekiranya tiada yang memenuhi kriteria ditetapkan, maka tidak akan ada peserta yang akan diambil dari sesebuah daerah atau bahagian,” tegas beliau. Justeru katanya, tiada peserta dari Kapit dan Serian yang menyertai pertandingan pada tahun ini kerana dasar pemilihan amat ketat dan harus mengikuti ketetapan hakim. Beliau menambah, antara pengisian program ialah ceramah khas yang akan diadakan di setiap surau atau masjid berdekatan termasuk di Tatau, Sebauh dan Kidurong. “Pada 14 Mac pula akan diadakan Forum Bual Bicara yang bertajuk Membangun Generasi Al-Quran bertempat di Auditorium BDA,” jelas beliau. Orang ramai khususnya umat Islam digalakkan menghadiri ceramah agama yang diadakan selain menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran. Turut hadir ialah Pengarah JAKIM Ustaz Hamdan Jaraee, wakil Residen Bahagian Bintulu Nur Fadzilah Narudin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Khalidi Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penerangan Islam Dr Asmah@Rajemah Othman dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Bintulu Fatiaelzera Mohd Idres. Sumber: Utusan Borneo Online
. 25/02
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Tuan Haji Khalidi bin Haji Ibrahim hari ini menghadiri dan mengetuai Program Kayuhan Harmoni Mesra Ummah (KHMU) siri ke 14 sempena Sambutan Jubli Mutiara bertempat di Masjid Darul Sahadah, Kampung Sebat Baru, Sematan. Program KHMU anjuran unit Komunikasi Korporat, JAIS telah bermula seawal hari Jumaat, 24 Februari 2023 dengan aktiviti ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Yakub bin Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Kuching bertempat di Masjid Nurul Naim, Kampung Telok Melano, Sematan dan ceramah agama turut juga diadakan di Masjid Darul Shahadah, Kampung Sebat Baru, Sematan yang disampaikan oleh Ustaz Dzulhadzri bin Japar Shedik, Pegawai Agama Islam Bahagian Bintulu. Seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan JAIS dan JAKIM Sarawak telah hadir dalam Program Kayuhan Harmoni Mesra Ummah ini. Pengarah JAKIM Sarawak, Ustaz Hamdan bin Jar’ee turut bersama-sama hadir dalam program ini. Acara Program KHMU ini dimulakan dengan penyampaian Sumbangan Khas Masjid sebanyak RM 4,000.00 dan sumbangan kepada 8 penerima yang terdiri daripada warga emas dan penduduk miskin yang tinggal di sekitar Kampung Sebat Baru. Seterusnya acara kayuhan bermula sepanjang 33 kilometer dari Kampung Sebat Baru ke Kampung Telok Melano, Sematan. Secara intihanya, Program KHMU Jubli Mutiara JAIS tersebut berjaya dilaksanakan dengan jitu dan lancar. Program ini juga bertujuan mempromosikan nilai Islam dan perpaduan serta keharmonian antara Jabatan Agama Islam Sarawak dengan penduduk kampung serta pihak pengurusan masjid. Ini juga merupakan benchmark kepada Dakwah Islamiah dan juga pemulaan kepada program yang berbentuk sihat dan cedas sekaligus dapat memberi manfaat dan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam terutamanya masyarakat Islam di Sarawak.
. 28/09
Lundu – JAIS telah menganjurkan Fun Ride pada 24 hingga 25 September 2022 di Lundu bersempena dengan sambutan 30 tahun penubuhan Jabatan Agama Islam Sarawak. Acara ini merupakan salah satu diantara sambutan Jubli Mutiara JAIS, 2022. Kayuhan Fun Ride ini bermula dari Masjid Dinul Huda, Kampung Bajo, Lundu hingga ke Surau Nurul Islam, Kampung Pugu, Lundu dalam jarak 12.5 kilometer. Program ini diadakan bertujuan untuk makluman kepada penduduk setempat berkaitan penubuhan 30 tahun Jabatan Agama Islam Sarawak, mengukuhkan ukhuwwah dan mahabbah antara agensi Islam dan masyarakat (Saudara Kita) serta menyantuni masyarakat melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan iaitu baik hati dan prihatin dalam Amalan Nilai Bersama. Selain itu juga, program ini diadakan untuk memberitahu bahawa Islam menitikberatkan soal kesihatan dan kecergasan. Sebanyak 20 orang penduduk sekitar Kampung Bajo dan Kampung Belungei turut bersama-sama menyertai kayuhan ini. Program sampingan dalam acara ini turut diadakan dengan mengagihkan sumbangan kepada Masjid Dinul Huda, Kampung Bajo, Surau Darul Makmur, Kampung Pandan, Masjid Noorulhuda, Kampung Belungei dan Surau Nurul Islam, Kampung Pugu.
. 10/02
Pada 7-9 Februari 2014, Jabatan Agama Islam Sarawak di bawah seliaan Bahagian Dakwah telah mengadakan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Pengislaman & Bengkel Pengendalian Kes Akidah di One Hotel Santubong, Kuching. Program yang dihadiri oleh seramai 41 orang pegawai-pegawai di Jabatan Agama Islam Sarawak seluruh negeri ini berobjektif untuk menyelaras dan menyeragamkan proses-proses pendaftaran pengislaman dan program berkaitan hal ehwal saudara kita. Turut diadakan semasa program adalah bengkel pengendalian kes-kes akidah yang dikendali oleh Dr Haji Ann Wan Seng.
. 18/03
Unit Ukhuwwah, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Miri dan Urus Setia Saudara Kita (USK) Bahagian Miri telah mengadakan program susulan bersama saudara kita di beberapa tempat di Bahagian Miri.
Lundu – JAIS telah menganjurkan Fun Ride pada 24 hingga 25 September 2022 di Lundu bersempena dengan sambutan 30 tahun penubuhan Jabatan Agama Islam Sarawak. Acara ini merupakan salah satu diantara sambutan Jubli Mutiara JAIS, 2022. Kayuhan Fun Ride ini bermula dari Masjid Dinul Huda, Kampung Bajo, Lundu hingga ke Surau Nurul Islam, Kampung Pugu, Lundu dalam jarak 12.5 kilometer. Program ini diadakan bertujuan untuk makluman kepada penduduk setempat berkaitan penubuhan 30 tahun Jabatan Agama Islam Sarawak, mengukuhkan ukhuwwah dan mahabbah antara agensi Islam dan masyarakat (Saudara Kita) serta menyantuni masyarakat melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan iaitu baik hati dan prihatin dalam Amalan Nilai Bersama. Selain itu juga, program ini diadakan untuk memberitahu bahawa Islam menitikberatkan soal kesihatan dan kecergasan. Sebanyak 20 orang penduduk sekitar Kampung Bajo dan Kampung Belungei turut bersama-sama menyertai kayuhan ini. Program sampingan dalam acara ini turut diadakan dengan mengagihkan sumbangan kepada Masjid Dinul Huda, Kampung Bajo, Surau Darul Makmur, Kampung Pandan, Masjid Noorulhuda, Kampung Belungei dan Surau Nurul Islam, Kampung Pugu.